10 Perkara Jangan Buat Kalau Nak Melawat Ibu Berpantang & Bayi Baru Lahir - Abang Terlajak Laris


10 Perkara Jangan Buat Kalau Nak Melawat Ibu Berpantang & Bayi Baru Lahir


Memang lumrah, kalau kawan baru bersalin mesti kita hendak menziarahi dia. Baguslah sebab itu sebagai tanda ingatan kita kepadanya tapi dalam masa yang sama perlu diingat ada pantang larang dan adab yang mesti dipatuhi bila hendak melawat ibu baru bersalin dan bayinya.

Sekarang banyak sangat kes yang kita baca tentang keadaan bayi baru lahir yang mudah dijangkiti kuman sehingga ada yang hampir maut. Apabila diperiksa dan disiasat, doktor mendapati bayi tersebut dijangkiti kuman daripada orang yang melawatnya dalam keadaan tidak sihat.

Jadi, kalau ada yang rancang hendak melawat bayi baru lahir, pastikan pantang larang berikut anda patuhi.

1. Sebelum datang bagitahu dulu
Janganlah anda main redah sahaja datang ke rumah orang baru bersalin. Maklum sahaja keadaan ibu baru bersalin yang masih belum kuat dan agak kelam kabut menguruskan bayi baru lahir. Tiba-tiba ada kawan yang datang tanpa memberitahu tentu sahaja dia tidak bersedia. Sekurang-kurannya bila anda memberitahu untuk datang, dapatlah dia memberitahu bila hari dan waktu yang sesuai. Takut nanti kalau main redah sahaja, tiba-tiba kawan anda tiada di rumah kerana pergi ke klinik atau hospital.

2. Pilih waktu melawat yang sesuai
Sebaiknya pilihlah waktu yang bersesuaian untuk melawat ibu berpantang. Jangan pula anda datang waktu pagi sangat sebab biasanya waktu ini ibu dan bayi agak sibuk menguruskan diri mereka. Jangan juga datang waktu petang dan hampir senja. Ibu berpantang kena makan dan mandi awal sebelum waktu maghrib. Bahkan elakkan sama sekali daripada datang melawat pada waktu malam. Orang tua-tua sangat pantang datang melawat ibu bersalin pada waktu malam.

3. Yang tak sihat tak perlu datang
Sebelum datang melawat bayi baru lahir, periksa dulu keadaan kesihatan anda. Kalau ada selesema, batuk walaupun sikit-sikit lebih baik anda tak payah datang melawat. Anda hanya akan menyebarkan virus tersebut kepada bayi yang masih tidak kuat lagi sistem imun badannya. Tunggu anda sihat baru datang melawat.

4. Jangan melawat terlalu awal
Janganlah disebabkan terlalu 'excited' hendak melawat kawan yang baru bersalin maka anda datang sehari selepas dia baru keluar dari hospital. Bagilah ibu bersalin masa untuk menyesuaikan diri dahulu. Selain itu ibu lepas bersalin juga masih lemah dan tidak kuat lagi untuk menerima tetamu.  

5. Jaga mulut
Biasanya kalau sudah datang beramai-ramai, macam-macam yang akan keluar daripada mulut masing-masing. Jagalah apa yang hendak dituturkan. Anda perlu menjaga hati ibu baru bersalin yang agak sensitif. Contohnya, "Eh, kenapa kecik sangat anak ko ni. Tk kuat nyusu ke?" atau "Kenapa tak pakai bengkung betul-betul, patutlah tak kurus-kurus lagi." Ia hanya akan menyakitkan hati ibu berpantang dan membuatkan dia bertambah stres.

6. Minta kebenaran untuk dukung bayi
Ada yang jenis suka hati sahaja mendukung bayi baru lahir yang dikunjungi. Bukan tak boleh tapi sebaiknya minta kebenaran daripada ibunya. Mana tahu, bayi tersebut meragam waktu malam dan baru hendak tidur, tiba-tiba kita yang datang mengganggu pula tidurnya.



7. Bawa buah tangan
Adab melawat orang sakit atau baru bersalin, sebaiknya bawalah sedikit buah tangan untuk mereka. Memanglah ibu bersalin tersebut tak meminta tapi apa salahnya bersedekah. Kalau tak sempat beli hadiah untuk bayi, boleh juga sedekahkan duit sahaja.

8. Jangan cium bayi
Siapa yang tak geram tengok bayi yang comel dan kecil. Tentu sahaja automatik rasa nak menggomol dan cium bayi puas-puas. Awas, tahan perasaan geram anda itu! Ingat, yang kita mungkin boleh menyebarkan bakteria kepada si kecil. Kalau tak tahan juga nak cium, sekali dan sekejap sahaja cukuplah.

9. Cuci tangan
Sebelum menyentuh atau mencuit pipi bayi yang gebu, elok anda bersihkan dahulu tangan dengan sabun antiseptik. Kadang kala tanpa kita sedar, tangan menjadi agen penyebar kuman. Tak pasal-pasal bayi yang bersih dan suci itu terkena kuman tanpa sengaja.

10. Tak payah memandai-mandai
Mungkin anda sudah berpengalaman mempunyai beberapa orang anak. Jadi, kalau datang melawat kawan yang baru pertama kali bergelar ibu, tak perlulah memberikan bermacam pantang-larang atau tip kecuali diminta. Mungkin setiap orang ada cara masing-masing yang tidak sama. Jadi jangan banding-bandingkan cara berpantang anda dengan kawan yang baru bersalin.

Sumber: Pa&Ma

No comments

Powered by Blogger.