5 Persediaan Sebelum Anda Letak Jawatan Untuk Berniaga Sepenuh Masa - Abang Terlajak Laris


5 Persediaan Sebelum Anda Letak Jawatan Untuk Berniaga Sepenuh Masa


Abang terbaca tips ini di sebuah website perniagaan. Tips yang dikongsikan oleh invidu yang mempunyai pengalaman bekerja dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) selama 11 tahun sebelum berhenti kerja untuk menjalankan bisnes sepenuh masa wajar diikuti. Sebelum berhenti, beliau telah mengusahakan bisnes sendiri secara separuh masa selama 3 tahun.

Ini antara persediaan yang beliau kongsikan.

1 – Tabung simpanan selama 6 bulan
Senaraikan dan kira jumlah perbelanjaan setiap bulan. Jika komitmen peribadi kita sebanyak RM 2,000 sebulan, kita mesti mempunyai simpanan sebanyak RM 12,000 di dalam akaun bank.Duit itu adalah duit tabung khas untuk komitmen peribadi, bukannya komitmen bisnes. Perbelanjaan operasi bisnes mesti dibayar daripada hasil bisnes yang dijalankan sekarang.Ada 2 sumber untuk memenuhkan tabung ini.
  • Guna sebahagian duit gaji yang diterima daripada hasil keuntungan bisnes.
  • Guna gaji bulanan daripada majikan tempat bekerja.

2 – Pendapatan bisnes menyamai gaji
Pendapatan bulanan daripada hasil keuntungan bisnes sekurang-kurangnya menyamai gaji di tempat kerja. Ini membolehkan kita mengatur perbelanjaan peribadi sama dengan kita mengatur perbelanjaan ketika kita masih bekerja. Konsistensi pendapatan bisnes pula tidak boleh diukur dengan pencapaian sebulan pertama. Itu belum cukup untuk menjamin pendapatan yang sama pada bulan seterusnya. Ia harus dicapai sekurang-kurangnya 6 bulan berturut-turut.

3 – Mempunyai perancangan bisnes yang rapi
Tetapkan matlamat jangka pendek dan jangka panjang. Seterusnya, senaraikan pelan tindakan yang perlu diambil oleh diri dan ahli pasukan untuk capai matlamat tersebut. Matlamat jangka pendek merangkumi apa yang perlu dicapai dalam fasa 3 bulan hingga 6 bulan pertama bisnes diusahakan secara sepenuh masa. Sudah tentu ia berbeza dengan pelan tindakan ketika kita mengusahakan bisnes secara separuh masa.Taat kepada pelan tindakan tersebut. Maksudnya diri sendiri dan ahli pasukan sanggup memberikan komitmen untuk melaksanakannya. Paling mudah, rujuk mentor bisnes dan minta nasihat daripada mereka terlebih dahulu. Ia mengurangkan risiko untuk melakukan kesilapan mudah di dalam menguruskan bisnes.

4 – Sanggup bekerja 12 jam hingga 14 jam sehari
Pada peringkat permulaan bisnes dijalankan sepenuh masa, pengorbanan yang harus dilakukan ialah kesanggupan untuk bekerja lebih masa daripada jumlah masa ketika bekerja makan gaji. Bekerja lebih masa ini hanya sementara sahaja sebelum kita serahkan sebahagian kerja kepada ahli pasukan yang lain. Apabila sepenuh masa, disiplin datang dari dalam diri kita. Tiada lagi undang-undang yang mengawal kita. Segelintir pemilik bisnes ketika menjalankan bisnes separuh masa, bisnes berjalan dengan baik. Apabila sepenuh masa, bisnes jatuh. Lazimnya, ia ada kaitan dengan masalah disiplin diri.

5 – Restu ibu bapa
Dari sudut kerohanian pula, minta restu ibu bapa dan mohon doa daripada mereka. Kejayaan lebih mudah dicapai apabila kita menjaga hubungan baik dengan ibu bapa, isteri, anak-anak dan keluarga terdekat.Seorang mentor kami pernah berkata, “Di saat ibu bapa menitiskan air mata mendoakan kesejahteraan dan kejayaan kita, Insya Allah rezeki kita tidak akan putus.”

Sumber: majalahniaga

1 comment:

Powered by Blogger.