Tak Susah Nak Ajar Anak Rajin Solat, Cuba 10 Tips Ini - Abang Terlajak Laris


Tak Susah Nak Ajar Anak Rajin Solat, Cuba 10 Tips Ini


"Perintahkanlah anak-anak kamu mengerjakan sembahyang sewaktu mereka itu berumur tujuh tahun dan pukullah mereka kerana meninggalkannya sewaktu mereka itu berumur sepuluh tahun. (Hadis riwayat Abu Daud).

Bertepatan dengan hadis diatas, adalah wajib kita mengajar anak anak bersolat. Tidak perlu bermula dengan sekaligus, satu persatu.  Semoga panduan ini boleh dipraktikkan oleh semua ibu bapa dalam mendidik anak-anak tentang kewajipan mengerjakan solat.

1.Biasakan anak mendengar laungan azan
Sejak usia bayi lagi biasakan anak mendengar laungan azan yang berkumandang di masjid berhampiran rumah atau dari televisyen. Berhenti bercakap atau melakukan aktiviti lain sebaliknya beri tumpuan kepada suara azan. Secara tidak langsung anda menunjukkan contoh kepada si kecil bahawa mereka mesti menghormati laungan azan.

2.Ajar anak doa selepas azan
Anak kecil sangat cepat mengingati apa yang diajar setiap hari. Mereka berupaya untuk menghafal doa yang anda bacakan setiap hari. Oleh itu rajinlah membaca doa selepas azan setiap kali selesai mendengar laungan azan. Anda pasti terkejut apabila satu hari kelak anak boleh lancar membaca doa tersebut yang hanya didengari daripada anda setiap hari.

3.Didik solat sejak bayi
Anda boleh mula mengajak si comel bersolat bersama keluarga. Bawa sekali anak dalam solat dengan cara mendukungnya.Ia boleh dilakukan sama ada oleh ibu atau ayah. Rutin ini akan mendedahkan anak tentang waktu bersolat dan dia pasti akan bersedia untuk solat bersama. Jika dia sudah semakin besar, letakkan anak di sebelah anda ketika bersolat. Percayalah, anak tidak akan mengganggu anda sebaliknya akan mengikut pergerakan anda bersolat.

4.Ajar anak mengambil wuduk
Jika si kecil suka mengikut anda mengambil wuduk, biarkan sahaja. Jangan marahkannya sebaliknya anggap ia sebagai satu proses pembelajaran anak. Bahkan lebih berkesan sekiranya anda boleh menampal cara-cara mengambil wuduk secara bergambar di pintu bilik air supaya ia memudahkan anak mengikutnya.

5.Dengarkan anak bacaan dalam solat
Biasakan anak mendengar bacaaan dalam solat anda dengan membacanya kuat sedikit ketika bersolat. Anda juga boleh membacanya ketika di luar waktu solat. Jika selalu mendengarnya tidak mustahil anak anda cepat menghafalnya.

6.Solat berjemaah
Amalan solat berjemaah dengan keluarga diakui petua berkesan mengukuhkan ikatan kekeluargaan. Oleh itu ajak anak solat bersama  jika boleh pada setiap waktu solat. Kebiasaan ini akan menjadi benteng tarbiah terkuat dalam diri anak akan keutamaan mengerjakan solat berjemaah terutama bagi anak lelaki.

7.Ajar anak berwirid
Biasakan anak anda mendengar bacaan wirid, tasbih dan tahmid selepas bersolat. Awalnya dia mungkin tidak memberikan sebarang respon tetapi lama kelamaan anak akan seronok berwirid sama.

8.Berdoa untuk anak
Berdoalah untuk kebaikan anak anda. Sebut namanya dan mohonlah doa supaya dia menjadi anak yang baik, anak yang soleh/solehah, rajin belajar, rajin menolong ibu dan ayah. Tentu sahaja mereka akan berasa gembira kerana ayah menyebut namanya dalam doa tersebut.

9.Berikan anak pujian
Kanak-kanak memang suka dipuji. Oleh itu jangan lupa memuji kelakuan baik mereka yang rajin bersolat dan dapat mengerjakan solat dengan betul tanpa bermain. Ia dapat menyuntik semangat mereka untuk terus bersolat dengan tertib.

10.Tegur kesilapan solat anak
Sekiranya anak melakukan kesilapan ketika bersolat, tegur kesilapan tersebut selepas selesai berdoa. Teguran biarlah secara berhemah iaitu meminta anak jangan mengulangi kesilapan tersebut sambil diiringi dengan sedikit pujian.

Sumber: Pa&Ma

No comments

Powered by Blogger.