Pentingnya Untuk Anda Selalu Makan Bersama Keluarga, Ini 5 Kelebihannya - Abang Terlajak Laris


Pentingnya Untuk Anda Selalu Makan Bersama Keluarga, Ini 5 Kelebihannya


Meluangkan masa makan bersama seisi keluarga sekurang-kurangnya sekali sehari memberi kesan besar kepada kesejahteraan minda dan emosi anak-anak. Memang tidak dapat dinafikan dalam kesibukan kita, amat sukar untuk mencari masa makan bersama terutama pada waktu siang tetapi rasanya kita boleh berkumpul sekeluarga pada waktu makan malam.

Waktu makan bersama bukan saja menjadi saat penting untuk membina ikatan keluarga, malah tanpa anda sedari ia turut mempunyai manfaat besar terhadap kesihatan. Antara kelebihan yang boleh anda peroleh ketika makan bersama ialah:

1. Tabiat makan anak menjadi lebih baik 
Ia dapat mengekang masalah berat badan berlebihan di kalangan anak-anak. Bagaimana? Biasanya ketika makan bersama, ibu bapa akan berusaha menyediakan sajian seimbang yang secara tidak langsung boleh merangsang anak-anak untuk mendapat khasiat pemakanan yang diperlukan. Paling penting, sajian yang disediakan di rumah jauh lebih rendah kandungan lemak, gula dan garam berbanding makanan segera.

2. Tabiat makan ibu bapa juga menjadi lebih baik 
Pada ketika inilah ibu bapa perlu menunjukkan tabiat pemakanan yang baik supaya boleh menjadi teladan atau ikutan anak-anak. Ini termasuklah makan sayur, buah-buahan dan minum air kosong.

3. Belajar adab sopan 
Kalau anda perhatikan, adab di meja makan kini semakin hilang terutama di kalangan generasi muda. Ramai anak-anak lebih suka menikmati makanan di depan televisyen. Jika makan di meja, ada yang tergesa-gesa menghabiskan makanan kerana mahu menonton rancangan kegemaran mahupun sambung mengadap permainan komputer. 

4. Nikmati masa berkualiti dengan anak-anak 
Waktu makan adalah waktu yang tenang dan menyeronokkan. Ketika inilah anda boleh berinteraksi dengan anak-anak. Antara topik yang boleh anda tanyakan ialah peristiwa menarik di sekolah pada hari itu, perkara yang menggembirakan atau menyedihkan anak-anak atau mengenai kawan rapatnya. 

5. Anak-anak mempunyai pandangan negatif positif terhadap ibu bapa mereka 
Masa makan juga adalah masa terbaik untuk memuji anak-anak dengan berterima kasih kepada perlakuan baik dan kerajinan mereka membantu anda. Paling mudah anda boleh berterima kasih kerana mereka rajin ke sekolah dan belajar. 

Sumber: HarianMetro

No comments

Powered by Blogger.