Sebelum Wujudnya ‘Pulau’ Di Kepala, Lelaki Kena Tahu 8 Punca Rambut Gugur Ini - Abang Terlajak Laris


Sebelum Wujudnya ‘Pulau’ Di Kepala, Lelaki Kena Tahu 8 Punca Rambut Gugur Ini


Tanyalah semua lelaki, boleh dikatakan majoriti lelaki akan takut dengan masalah keguguran rambut ini. Kewujudan ‘pulau’ di kepala pasti mendatangkan rasa tidak senang dalam diri dan juga boleh menyebabkan hilang keyakinan diri.

Jom kita baca punca-puncanya.

1. Genetik
Masalah keguguran rambut boleh dikaitkan dengan genetik yang dimiliki oleh anda. Tidak kira sama ada ia adalah genetik daripada ibu atau bapa anda, jika salah seorang atau kedua-duanya dalam keluarga mereka ada masalah keguguran rambut, maka kemungkinan besar anda juga akan hadapi masalah ini.

2. Umur
Apabila umur anda semakin bertambah, sama ada anda suka ataupun tidak, potensi untuk anda hadapi masalah keguguran rambut adalah tinggi. Ini terjadi kerana badan semakin kekurangan nutrisi untuk membantu penghasilan rambut yang baru dan kuat.

3. Anak
Jika anda adalah seorang bapa, faktor anak yang semakin ramai akan menjadi punca kenapa rambut anda gugur. Rambut gugur terjadi gara-gara berlakunya tekanan untuk menguruskan perihal anak-anak. Itu belum campur lagi urusan kerja kan? Mesti lagi stres.

4. Diet
Gaya pemakanan juga boleh menjadi punca mengapa anda mengalami masalah keguguran rambut. Contohnya, jika anda sangat kerap minum minuman berasaskan kafein, ini akan menyebabkan berlakunya masalah keguguran rambut. Jadi, sila jaga pemakanan anda jika mahu elakkan masalah ini daripada berlaku.

5. Merokok
Turut menjadi punca mengapa berlakunya keguguran rambut. Kenapa merokok boleh buat rambut gugur? Ini kerana ia boleh mengganggu kelancaran darah serta mengurangkan nutrisi yang membantu menghasilkan rambut yang kuat dan sihat.

6. Penyakit kulit
Penyakit kulit juga boleh menjadi punca berlakunya masalah keguguran rambut. Kewujudan penyakit kulit di kulit kepala akan menyebabkan ia menyerang akar rambut dan mengakibatkan rambut menjadi rosak lalu gugur. Andainya tidak diubati segera, rambut akan gugur dengan banyak.

7. Stres
Tidak kira sama ada stres di tempat kerja atau di rumah, stres dengan kawan-kawan atau sesiapa sahaja, andainya anda tidak mengawalnya dengan baik, bersiap sedialah untuk kehilangan rambut anda.

8. Hormon
Bagi lelaki, memiliki hormon testosteron pada tahap yang baik adalah sangat penting. Kekurangan hormon ini akan menyebabkan anda menghadapi masalah keguguran rambut. Jadi, pastikan anda mengambil makanan-makanan yang boleh membantu mengekalkan hormon testosteron pada tahap yang baik.

No comments

Powered by Blogger.