Selain Sedap Dijadikan Ulam, Ini Khasiat Daun Pokok Lemuni Yang Anda Tak Tahu - Abang Terlajak Laris


Selain Sedap Dijadikan Ulam, Ini Khasiat Daun Pokok Lemuni Yang Anda Tak Tahu

Foto: Harian Metro
Pokok lemuni (lemuni hitam) atau nama saintifiknya Vitex trifolia adalah tanaman herba yang popular di utara Semenanjung Malaysia.

Spesies lemuni tumbuh renek dan berkayu serta mempunyai ketinggian rata-rata satu hingga tiga meter, namun mampu mencecah hingga lima meter.

Daun tersusun berlawanan sepanjang batang dan biasanya tersusun secara kompaun bercabang tiga dengan kepanjangan sekitar satu hingga 12 sentimeter.

Warna daun yang menarik iaitu ungu gelap kebiasaannya bertukar kehijauan apabila matang. Pokok berkenaan turut menghasilkan bunga yang bersaiz kecil.

Tumbuhan yang lebih mudah dijumpai di kawasan kampung ini ternyata menyimpan banyak khasiat dan digunakan sebagai ubat tradisional merawat penyakit.

Daun yang direndam dan dijadikan mandian dikatakan mampu memulihkan anggota badan lemah manakala bahagian akar yang direbus dipercayai baik untuk ibu baru lepas bersalin.

Selain diambil sebagai ubat tradisional, pucuk muda atau daun lemuni turut enak dijadikan ulam selain digunakan sebagai bahan masakan.

Antara hidangan yang terkenal adalah nasi lemuni yang mencampurkan jus daun lemuni bersama santan dan dimasak bersama nasi.

Daunnya juga dipercayai dapat membunuh jentik-jentik selain turut dijadikan ubat nyamuk.

Sumber: HarianMetro

No comments

Powered by Blogger.