Cara Paling Mudah Nak Kenali Durian Musang King Supaya Tak Kena Tipu - Abang Terlajak Laris


Cara Paling Mudah Nak Kenali Durian Musang King Supaya Tak Kena Tipu


Perkongsian oleh saudara Khairul fahmy,

Hari ini aku nak bagi tips kat korang. Kalau nak beli durian musang king, beli la yang belum buka kulitnya lagi. Sebab yang dah packing yang selalu kita jumpa kat pasaraya tu kebanyakannya tipu bukannya musang king tetapi buah lain yang seakan-akan sama.

Musang King mempunyai satu tanda lahir yang amat jelas iaitu berbentuk TAPAK SULAIMAN di bahagian bawah. Tanda lahir ini tiada pada buah durian yang lain. Ini aku bagi contoh dekat korang supaya tak kena tipu lagi. 

Selamat membeli.



Sejarah dan ciri Durian Musang King

Durian Musang King atau nama asalnya Raja Kunyit, mempunyai isi berwarna kuning pekat, durinya bersegi, sementara pangkal tangkainya tidak berduri dan garisan pangsa jelas pada kulit.

Penolong Pengarah Bahagian Hortikultur Jabatan Pertanian Serdang, Mohd Auzaie Komarudin, berkata itu antara ciri-ciri utama durian D197 yang didaftarkan di Jabatan Pertanian pada 1993.

Beliau berkata, masyarakat Cina tempatan gemar menggelarkan raja buah itu sebagai Mao Shan Wang, yang bermaksud 'raja kucing gunung' iaitu merujuk kepada bentuk isi durian yang mirip seekor kucing sedang tidur.

"Panggilan itu terus digunakan secara meluas sehingga perkataan 'Mao Shan' ditukar kepada sebutan Musang dan 'Wang' ditukar kepada King sehingga dikenali sebagai Musang King hingga kini," katanya mengenai durian itu yang banyak didapati di Raub, Pahang.

Beliau berkata untuk itu, pembeli perlu berhati-hati membeli durian Musang King supaya tidak ditipu penjual.

"Musang King yang berasal dari Tanah Merah, Kelantan lebih lonjong seperti bola ragbi berbanding baka lain yang berbentuk bulat, selain mempunyai corak seakan-akan bintang pada bawah buahnya," katanya ketika ditemui di Ladang Bandar Jabatan Pertanian, Serdang, di sini hari ini.

Mohd Auzaie berkata, isi durian Musang King lebih tebal ditambah rasa lemak yang pahit sedikit dan bijinya pula kecil berbanding baka lain.

"Musang King cukup diminati penggemar durian sehingga dijual agak mahal, bermula RM50 sekilogram di pasaran atau 30 hingga 40 peratus lebih mahal daripada jenis durian yang lain.

Terdapat sesetengah peniaga cuba mengaut keuntungan mudah dengan mendakwa menjual Musang King, walhal ia baka lain," katanya.

Beliau berkata, pembeli perlu memeriksa ciri-ciri durian itu terlebih dahulu sebelum membelinya bagi mengelakkan ditipu.

Bagi mengenali baka anak pokok Musang King pula, beliau berkata, pokok duriannya memiliki daun yang lebih nipis, berbentuk tirus dan beralun sedikit. - Berita Harian

No comments

Powered by Blogger.