Kanser Serviks, Kenali Tanda-Tanda Awal & Punca - Abang Terlajak Laris


Kanser Serviks, Kenali Tanda-Tanda Awal & Punca


Kanser rahim atau kanser serviks adalah antara kanser yang boleh dikesan pada peringkat awal sekiranya para wanita peka terhadap perubahan yang berlaku pada diri mereka.

Dengan kehadiran simptom-simptom awal kanser rahim ni, para wanita perlu segera mendapatkan pemeriksaan awal dan rawatan susulan dengan doktor.

Tanda-Tanda Awal Kanser Rahim Atau Kanser Serviks



1) Vagina Mengeluarkan Suatu Cairan Yang Luar Biasa

2) Berlaku Pendarahan Di Bahagian Vagina Secara Tidak Normal

3) Kesakitan Pada Pelvis

4) Sakit Ketika Bersama Atau Sewaktu Melakukan Hubungan Kelamin

5) Haid Yang Berpanjangan & Berat

6) Hilang Kawalan Pada Pundi Kencing

7) Ketidakselesaan Ketika Membuang Air Kecil

8) Keletihan Yang Berterusan

9) Hilang Selera Makan Atau Berat Badan Turun Mendadak

10) Sakit Kaki

Apakah & Bagaimanakah Kanser Rahim Berlaku

Rahim adalah organ reproduktif yang berfungsi sebagai tempat membesarnya janin atau kandungan. Organ ini berbentuk buah pear dan terdiri daripada bahagian badan (uterine body) dan bahagian pangkal rahim (serviks).

Sempadan yang memisahkan bahagian badan rahim dan pangkal rahim dipanggil istmus.

“Apabila disebut kanser rahim, ia merujuk kepada kanser yang terjadi atau berasal daripada bahagian badan rahim.

 Ada dua bahagian utama badan rahim iaitu selaput dinding rahim ataupun endometrium dan dinding rahim yang terdiri daripada tiga lapisan otot dan stroma,” jelas pakar Ginekologi Onkologi Hospital Serdang, Dr. Andi Anggeriana Andi Asri.

Jenis-jenis Kanser Rahim

Dalam bidang perubatan, terdapat tiga jenis kanser rahim iaitu:-

1) Kanser Endometrium
Kanser yang berlaku pada selaput dinding rahim.

2) Liomiosarkoma (Leiomyosarcoma)
Kanser yang berasal daripada otot dinding rahim

3) Karsinosarkoma
Kanser yang berasal daripada kedua-dua komponen selaput dan dinding rahim

Bagaimana Kanser Rahim Dikesan

Kanser rahim mudah dikesan disebabkan tanda yang sangat jelas terutama selepas wanita itu menopaus iaitu selepas ketiadaan darah haid. Antaranya, pendarahan yang berlaku selepas menopaus. Kebiasaannya wanita mengambil mudah apabila selepas menopaus, mereka didatangi haid semula.

“Ramai mengambil mudah kerana menyangka ia darah haid. Sebab itu ada yang tidak mendapatkan rawatan dan membiarkannya sehingga sel kanser merebak ke tahap empat.

Sekiranya darah keluar semula selepas menopaus, sepatutnya mereka membuat pemeriksaan sebelum doktor mengesahkan sama ada ia penyakit serius atau tidak,” katanya.

Wanita yang secara tiba-tiba mengalami tempoh haid yang panjang serta jumlah haid yang banyak melebihi biasa juga dinasihatkan membuat pemeriksaan.

Ia sesuatu yang normal sekiranya haid berlaku sekitar lima hingga tujuh hari namun sekiranya haid berpanjangan sehingga 14 hari, wanita harus mendapatkan rawatan segera kerana berkemungkinan ia adalah kanser rahim.

“Namun, ada juga bertanya saya mengenai haid yang tidak menentu. Ia bukanlah faktor utama sebaliknya golongan ini berisiko mendapat kanser rahim,” katanya.

Kaitan Kanser Rahim Dengan Sindrom Ovari Polisistik (PCOS)

Kanser rahim juga mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan pengedaran serta kandungan hormon estrogen yang tidak seimbang atau dipanggil sindrom ovari polisistik (PCOS) iaitu gangguan hormon paling tinggi dalam kalangan wanita yang berada pada peringkat subur. 

Ia juga menjadi salah satu faktor ketidaksuburan wanita.


Antara ciri utama PCOS adalah ovulasi (proses bertelur) tidak berlaku atau tiada ovulasi yang tetap pada setiap bulan.

 Selain itu, peningkatan aras hormon androgen (hormon lelaki) yang berlebihan dalam badan wanita turut menjadi punca.

“Sindrom ovari polisistik tidak menunjukkan sebarang petanda awal seperti demam atau kesakitan, lantas ia tidak disedari penghidapnya. 

Kajian menunjukkan 90 peratus wanita yang mengalami haid tidak teratur mengalami PCOS dan 30 peratus yang tidak mengalami haid langsung didapati menghidap PCOS,” katanya.

PCOS boleh dihidapi sesiapa saja, namun kekerapan berlaku lebih kerap kepada wanita berusia 20 hingga 30 tahun yang turut berisiko mendapat kanser rahim. Namun, faktor keturunan turut menjadi penyumbang kepada gejala berkenaan.

PCOS boleh mengganggu proses ovulasi dan penghasilan telur yang berkualiti daripada ovari, seterusnya menyebabkan wanita berkenaan mempunyai kitaran haid yang tidak menentu dan boleh mengganggu sistem badan yang lain seperti metabolisme dan sistem kardiovaskular.

Mereka juga mempunyai bulu berlebihan di kawasan tertentu disebabkan ketidakseimbangan hormon ini.

“Wanita yang mengalaminya juga akan mengalami berat badan berlebihan atau obesiti namun ada juga yang terlalu kurus berpunca daripada ketidakseimbangan hormon ini.

Begitu juga bagi mereka yang mengalami masalah keputihan yang serius perlu mendapatkan rawatan segera bagi memastikan ia tiada kaitan dengan penyakit lain,” katanya.


No comments

Powered by Blogger.