7 Cara Hilangkan Bau Durian Dalam Kereta - Abang Terlajak Laris


7 Cara Hilangkan Bau Durian Dalam Kereta


Bagi anda yang nak bawa balik durian yang dibeli di tepi jalan atau dibawa dari kampung. Haru pula jadinya kalau masa ke pejabat esok, kereta pun masih kuat berbau durian. Sebenarnya ada beberapa petua dan cara hilangkan bau durian ini dalam kereta anda.

1. GUNA TANGKAI DURIAN

Ini adalah perkongsian oleh Puan Ikha Febrian‎ melalui Facebook yang diperolehi daripada penjual durian sendiri. Caranya, patahkan tangkai durian dan kemudian belah hujungnya. Selepas itu, letakkan pada jejaring aircond seperti dalam gambar. Hasilnya, bau durian pasti tiada lagi. Ramai dah cuba dan akui yang teknik ini memang berkesan!


2. ANGINKAN KERETA MASA MEMANDU

Bungkuskan durian menggunakan 2-3 lapis beg plastik. Ikat ketat-ketat supaya baunya tak keluar dari beg. Kemudian letakkan dalam bonet kereta macam biasa.Masa memandu, buka semua tingkap dan jangan buka air cond. Cara ini dapat menganginkan kereta dan menghindarkan bau durian yang kuat daripada terkumpul dan melekat dalam kereta anda.

3. ROTI

Kalau dah sampai rumah tapi masih ada bau durian dalam kereta, bolehlah gunakan petua seterusnya ini. Caranya, letakkan beberapa keping roti di dalam kereta. Roti ini boleh menyerap bau durian dengan berkesan. Biarkan semalaman dan keesokan paginya bau durian akan hilang dari kereta anda.

4. KOPI


Selain roti, anda boleh juga meletakkan kopi untuk menyahkan bau durian dari kereta anda. Ambil sedikit serbuk kopi dan balutkan dalam sapu tangan atau kain kasa. Lepas itu tinggalkan semalaman dalam kereta. Nak senang, gunakan saja serbuk kopi yang siap di dalam uncang. Kopi juga boleh menyerap bau-bauan dengan efektif.

5. SODA BIKARBONAT / BAKING SODA / SERBUK PENAIK


Bahan yang satu ini bukan saja digunakan dalam masakan, tapi ia juga merupakan bahan serbaguna yang sewajibnya ada di setiap rumah. Selain menanggalkan kotoran, soda bikarbonat juga boleh digunakan untuk menghilangkan bau secara semulajadi. Anda boleh meletakkan satu bekas yang berisi serbuk soda bikarbonat ini di dalam kereta.

Satu lagi cara, taburkan dulu soda penaik ini ke atas lantai kereta atau bahagian yang berbau kuat. Biarkan 2-3 jam dan lepas itu boleh vakum.

6. DAUN PANDAN


Petua ini mungkin biasa anda dengar. Bagi yang ada stok daun pandan di halaman atau di dapur, bolehlah gunakan beberapa helai daun pandan yang diikat. Boleh juga potong kecil-kecil dan masukkan dalam beg jaring. Gantungkan macam air freshener.

7. ARANG

Akhir sekali, anda boleh juga gunakan beberapa ketul arang untuk menyerap bau durian dalam kereta tadi. Boleh beli arang biasa dan bubuh dalam bekas. Biarkan selama beberapa jam dalam kereta. Sekarang ni dah banyak juga arang yang dijual khas untuk menyerap bau dalam kereta.

Sumber: Sirap Limau

No comments

Powered by Blogger.