Perkara Perlu Dilakukan Selepas Anak Mengalami HFMD - Abang Terlajak Laris


Perkara Perlu Dilakukan Selepas Anak Mengalami HFMD


Perkongsian oleh Dr Shaiful Ehsan,

Sesiapa sahaja yang mengesyaki dirinya menghidapai HFMD, sama ada dewasa mahupun kanak-kanak perlulah berjumpa dengan pihak doktor di klinik dengan segera. Ini kerana pengecaman kes HFMD boleh dilakukan oleh pihak doktor melalui pertanyaan gejala-gejala yang dihidapi dan pada keadaan kulit, mulut dan pemeriksaan badan yang lainnya pada masa itu. 

Ini adalah penting supaya notifikasi kepada pihak kesihatan dapat dilakukan agar langkah-langkah pengesanan dan pencegahan dapat dijalankan dengan segera untuk mengelakkan wabak daripada berlaku di kawasan tersebut. Notifikasi oleh pihak doktor kepada unit kesihatan akan dilakukan seawal yang boleh dalam tempoh 24 jam.

Siapakah yang cenderung untuk mendapat jangkitan HFMD?

HFMD mudah merebak di kalangan kanak-kanak dan di tempat awam seperti sekolah dan taska. Namun ianya juga boleh berlaku pada golongan dewasa.

Adakah darah perlu diambil untuk mengesan jangkitan HFMD?

Pengambilan sampel darah daripada pesakit HFMD kebiasaannya adalah tidak perlu. Ini kerana pihak doktor boleh mengenalpasti penyakit HFMD melalui gejala-gejala yang ada dan keadaan badan pesakit ketika diperiksa. Namun pengambilan sampel seperti dari rongga mulut dan lendir pada ruam adalah penting dalam siasatan oleh unit kesihatan terutama ketika wabak. Pengambilan sampel yang lebih lanjut seperti darah adalah perlu ketika keadaan pesakit adalah teruk atau berbeza daripada kebiasaan HFMD dan juga ketika pesakit dimasukkan ke hospital untuk mengenalpasti jenis virus yang merebak.

Apakah rawatan untuk penyakit HFMD?

Rawatan utama untuk penyakit HFMD secara umum adalah rawatan sokongan di rumah. Iaitu menggalakkan pesakit berehat di rumah dan mengambil air dan makanan secukupnya. Namun, rawatan susulan di hospital adalah perlu jika keadaan pesakit menjadi teruk atau berbeza seperti demam yang terlalu tinggi, lemah, tidak bermaya, tidak lalu makan, muntah berterusan, sawan, nafas menjadi laju atau sesak nafas.

Pesakit juga perlu dimasukkan ke hospital jika tiada sokongan yang cukup di rumah seperti ketiadaan penjaga atau pihak ibu bapa tidak berdaya memberi rawatan di rumah. Justeru itu, pihak kerajaan telah memperkenalkan cuti khas untuk salah seorang penjaga untuk menjaga anak yang menghidapi HFMD di rumah.

Apakah komplikasi penyakit HFMD?

Keadaan HFMD yang teruk boleh meyebabkan pesakit tidak lalu makan dan kekurangan air. Virus yang merebak dengan pantas juga boleh menyebabkan kegagalan organ dalam berfungsi dengan baik dan boleh menyebabkan kematian. Justeru, pemantauan yang kerap amatlah penting sama ada di rumah atau di hospital.

Sumber: mmgazette

No comments

Powered by Blogger.