Resepi Pulut Mangga Paling Sedap - Abang Terlajak Laris


Resepi Pulut Mangga Paling Sedap



Bahan-bahan untuk pulut mangga 


1. 400 gram beras pulut yang direndam semalaman 
2. 1 cawan santan pekat 
3. 1 cawan santan cair 
4. 2 atau 3 sudu besar gula 
5. sedikit garam 
6. beberapa helai daun pandan,(daun pisang juga boleh) 
7. 2 sudu besar bijan, dibakar tanpa minyak untuk taburan 
8. 3 biji mangga (perlu pandai pilih yang manis) 

Bahan-bahan untuk kuah santan 

1. 1 cawan santan pekat 
2. 1 sudu kecil tepung beras atau tepung jagung, bancuh dengan sedikit air 
3. 1 helai daun pandan, carik dan simpul 
4. garam secukup rasa (supaya kuah agak masin) 


Cara-cara penyediaan pulut 


Panaskan pengukus. Lapik dulang pengukus dengan daun pisang atau susun daun pandan rapat-rapat.Bilas pulut yang telah direndam semalaman dan tapis keluar airnya. Masukkan ke dalam dulang kukusan dan kukus sehingga lembut. (Anggaran masa kukus adalah selama 20 minit). Apabila sudah lembut, angkat dan masukkan pulut kukus ke dalam mangkuk yang besar.

Satukan santan pekat, santan cair, gula dan garam dan kacau sebati. Tuang bancuhan santan ke dalam pulut yang masih panas tadi. Balik-balikkan pulut dan biar seketika supaya kuah bancuhan meresap ke dalam pulut. Apabila pulut sudah kering meresap kuah santan, ambil garfu dan gemburkan pulut. Ketepikan sebentar sementara menyiapkan kuah santannya. 


Cara-cara penyediaan kuah santan 


Panaskan santan pekat di dalam periuk dan masak di atas api yang sederhana. Masukkan garam, daun pandan dan bancuhan tepung. Teruskan kacau supaya santan tidak berketul. Kalau agak cair masukkan sedikit lagi bancuhan tepung. Anda boleh agak-agak kepekatan di sini. Pastikan kuah mempunyai rasa yang agak masin supaya dapat menyeimbangi rasa manis buah dan pulut. Angkat dan sejukkan. 


Buah Mangga 


Yang ini tiada cara hidangannya. Cuma terpulang kepada cara masing-masing samada mahu memotong kecil-kecil, panjang-panjang atau apa saja. Yang penting buah itu manis! Antara jenis mangga yang terkenal ialah Harum Manis. Hidang bersama pulut, dan taburan bijan. Siap! Selamat mencuba dan selamat menjamu selera!

Sumber : Iluminasi

No comments

Powered by Blogger.