Cara Menjadikan Ramadhan Istimewa Untuk Anak Anda - Abang Terlajak Laris


Cara Menjadikan Ramadhan Istimewa Untuk Anak Anda



Beritahu cerita Ramadan sebelum tidur setiap malam
Jangan hanya bergantung kepada buku-buku kanak-kanak berkaitan Ramadan untuk bercerita tentang bulan istimewa ini dengan si pintar cilik. Kongsikan kepada anak-anak kita bagaimana pengalaman kita berpuasa semasa kita masih kecil. Ibubapa juga boleh mereka beberapa cerita berserta perancangan dengan anak anda sebagai watak utama dalam pengembaraan di bulan Ramadan ini!

Membuat dan menghantar kad Ramadan buatan sendiri
Duduk bersama anak-anak untuk membuat kad Ramadhan Mubarak. Sediakan kad itu untuk adik-beradik, datuk nenek, ibu saudara, bapa saudara, guru-guru dan kawan-kawan. Ia pasti sesuatu yang mengujakan ! 

Jemput rakan-rakan anak-anak untuk Iftar bersama-sama
Biarkan anak-anak anda menyenaraikan senarai tetamu dan menu pilihan mereka. Juga, minta mereka menyediakan beberapa makanan istimewa. Kita boleh memilih beberapa resipi mesra kanak-kanak atau mereka boleh membantu dengan menyediakan juadah berbuka puasa yang tidak memerlukan mereka untuk menggunakan dapur atau memotong dengan pisau.

Jemput datuk nenek atau ahli komuniti lebih tua untuk Iftar bersama
Setelah semua orang selesai berbuka puasa, menarik jika ada sesi bercerita di mana tetamu boleh berkongsi pengalaman bagaimana mereka melalui Ramadan semasa di zaman kanak-kanak. Ceritalah pengalaman berbeza-beza pada zaman dahulu, di negara lain juga bagaimana pula mereka menyambut Ramadhan, apakah jenis makanan yang mereka makan untuk berbuka? Bagaimana mereka berbuka puasa? Apa aktiviti menarik sepanjang Ramadhan dan lain-lain lagi. Kanak-kanak memang suka mendengar cerita dan bertanya soalan di luar kotak. 

Membuat buku skrap untuk Ramadan ini
Mengambil banyak gambar ketika semua orang sedang bersahur tentu sangat menghiburkan. Tidak ketinggalan gambar-gambar kemeriahan ketika berbuka puasa, ketika letih berpuasa, bertadarus, bertarawih dan macam-macam lagi. Jadikan satu buku skrap untuk Ramadhan kali ini. Letakkan pelekat dan hiasan yang menarik sebagai satu kenangan seumur hidup untuk anak-anak kita. 

Ingat golongan miskin
Rancang bersama anak-anak untuk menjadi sukarelawan di dapur beberapa jam pada hari Sabtu atau Ahad. Sediakan makanan untuk berbuka puasa khusus untuk golongan kurang berkemampuan. Bawalah si comel untuk menghantar makanan dan menyantuni golongan miskin. Berikan banyak dorongan untuk anak-anak suka bersedekah dan membantu mereka yang kurang berkemampuan di bulan Ramadhan. 

Beri dorongan meskipun mereka berpuasa separuh hari
Kanak-kanak teruja untuk berpuasa apabila mereka melihat ibubapa dan adik-beradik yang lebih tua melakukannya. Tahun ini, beri galakan untuk mereka berpuasa selama beberapa jam semampu yang mereka boleh. Jangan lupa sediakan juga “Iftar” khas untuk mereka dengan beberapa makanan kegemaran mereka sebagai satu penghargaan dan sokongan. 

Membawa mereka untuk iftar dan solat Tarawih 
Tiada ada cara paling mudah untuk mengajar semangat komuniti kepada si cilik selain solat berjemaah di surau atau masjid. Biasakan anak-anak kita untuk berbuka puasa di surau atau masjid, juga bawa mereka untuk solat fardhu berjemaah dan solat Tarawih supaya mereka merasakan mereka adalah sebahagian daripada entiti masyarakat. Selain itu, bekalkan sedikit duit untuk mereka biasakan diri bersedekah ketika berada di masjid mahupun surau. 

Anak-anak yang belum baligh tidak diperintahkan untuk berpuasa. Namun demikian ibubapa sangat digalakkan untuk mendorong anak-anak untuk mula berpuasa sedari kecil agar mereka terbiasa melakukannya apabila menginjak dewasa. Dan supaya mereka mengetahui bahwa ibadah puasa Ramadhan merupakan salah satu kewajiban yang diperintahkan Allah SWT. Ibadah puasa sebenarnya memberi pengaruh positif terhadap emosi anak-anak. Terutamanya mengajar mereka untuk bersabar dan prihatin dengan kesusahan orang lain.

Sumber : excelqhalif

No comments

Powered by Blogger.