Kebaikan Dan Manfaat Pisang Yang Boleh Mencantikkan Kulit - Abang Terlajak Laris


Kebaikan Dan Manfaat Pisang Yang Boleh Mencantikkan Kulit

Antara kaedah rawatan kecantikan menggunakan pisang yang boleh dilakukan sendiri di rumah ialah:

1. Atasi kulit berminyak
Pisang mampu membersih kekotoran yang membantu menyingkirkan sebum berlebihan pada permukaan kulit. Ia turut mengandungi kalsium, vitamin E dan C yang melembapkan kulit supaya bersih berseri. Jika anda mengalami masalah kulit berminyak, gunakan topeng muka pisang dengan jus lemon dan madu. Lumatkan pisang masak dan campurkan dengan satu sudu madu dan setengah sudu teh jus lemon untuk membuat topeng muka. 

2. Menanggalkan sel kulit mati
Pisang mampu menanggalkan sel mati pada permukaan kulit secara perlahan-lahan. Caranya, campurkan pisang, minyak kelapa dan oat. Oat mempunyai tekstur kasar yang mampu menanggalkan sel kulit mati berlebihan pada permukaan kulit. Selain itu, kandungan isi pisang yang mempunyai 75% air mampu mengatasi dehidrasi di samping menyihatkan kulit.

3. Rawat mata bengkak
Memakan pisang juga mampu membantu mengurangkan bengkak mata kerana ia kaya dengan kalsium. Bahagian dalam kulit pisang mampu menyejukkan dan mengurangkan kemerahan serta bengkak mata. Letakkan kulit pisang ke atas kelopak mata dan rehat selama 10 hingga 15 minit. Kemudian basuh dengan air sejuk.

4. Melicinkan tumit kaki kasar
Sekiranya tumit anda kasar, manjakan kaki anda dengan lulur pisang khas. Ia bertujuan melembutkan dan melicinkan bahagian berkenaan. Selepas merendam kaki di dalam air limau suam, urut menggunakan dua atau tiga pisang yang dilecek ke kaki anda. Kemudian, bilas dengan air suam.

5. Pupur muka untuk jerawat
Pisang masak dikatakan mampu merawat jerawat pada wajah dengan menyapukan pupur pisang pada muka. Caranya kisar pisang hingga halus dan lumurkan pada muka. Biarkan beberapa minit sebelum dibersihkan. Kaedah ini dipercayai berkesan dan memberikan hasil yang baik. Perlu diingat, rawatan ini harus dilakukan selama beberapa hari sehingga jerawat kering

6. Kuatkan akar rambut
Pisang mengandungi vitamin dan mineral berkhasiat yang mampu melembapkan kulit kepala, selain melembutkan rambut kasar. Pisang mempunyai emolien yang baik untuk menjaga kesihatan rambut. Sama seperti vitamin dan mineral, emolien juga menguatkan akar rambut.

7. Memudarkan parut
Sama ada parut jerawat, tanda penuaan atau tompok gelap pada wajah, ia boleh dipudarkan menggunakan pisang lenyek. Caranya juga mudah, hanya sapukan pisang yang dilenyekkan pada wajah sekurang-kurangnya dua kali seminggu.

8. Manfaatkan kulit pisang
Kulit pisang juga boleh dijadikan bahan penting dalam menjaga kecantikan. Ia boleh digunakan untuk menghilangkan tanda kekuningan pada gigi, meredakan lebam dan mencerahkan kulit. Untuk memutihkan gigi, gosokkan kulit pisang selama seminit pada gigi anda setiap hari. Cuba sekurang-kurangnya seminggu untuk melihat hasilnya.

Kulit pisang juga boleh digunakan untuk mengurangkan kesan lebam. Selain menggosok kulit pisang pada bahagian yang lebam, anda juga boleh melekatkannya di situ dan biarkan semalaman. Boleh juga sapukan bahagian lebam itu dengan pisang lenyek. Gunakan kulit pisang untuk mencerahkan wajah. Menggosokkan seluruh wajah dengan kulit pisang membantu mengekalkan keserian wajah. Cuba lakukan selama sebulan untuk kesan yang lebih baik.

Sumber : hmetro

No comments

Powered by Blogger.